Summary: | Berbanding dengan di negara Barat, kajian serta penggunaan tentang bitumen tambah
getah di Malaysia masih lagi belum meluas. Dalam kajian ini, kekuatan bahan
pengikat akan mempengaruhi kekuatan campuran yang akan dihasilkan. Terdapat dua
kaedah atau proses dalam menghasilkan bitumen tambah getah iaitu proses basah dan
proses kering. Di dalam kajian ini, getah dan bitumen diadun melalui proses basah.
Bitumen 80/100 digunakan manakala serbuk getah diperolehi dari tayar trak terpakai.
Bitumen tambah getah yang dihasilkan diaplikasikan ke atas campuran asfalt berliang
untuk melihat keberkesanannya. Di dalam kajian ini, peratusan kandungan serbuk
getah yang digunakan adalah 15.25%, 18% dan 22%. Kesan ciri kejuruteraan ke atas
campuran asfalt berliang diperolehi melalui ujian kebolehtelapan, ujian lelasan
Cantabro, ujian kestabilan, ujian kebingkasan dan ujian tegangan tak langsung. Kajian
ini menerangkan hasil yang diperolehi dari penghasilan bitumen tambah getah dan
campuran asfalt berliang tambah getah. Daripada kepelbagaian tayar, prestasi bitumen
tambah getah yang dihasilkan adalah lebih baik dari bitumen lazim yang selalu
digunakan. Secara keseluruhannya, terdapat data hasil kajian yang boleh digunakan
terutamanya bitumen tambah getah yang dihasilkan. Hasil ujian yang dijalankan ke
atas bitumen tambah getah kebanyakannya mematuhi spesifikasi JKR dan AASHTO.
Ini menunjukkan ia boleh diaplikasikan sebagai bahan campuran yang mampu
menghasilkan turapan yang berkualiti.
|