Summary: | Tajuk kajian adalah pemodelan sistem pintar untuk menentukan pecahan minyak.
Tujuan penyelidikan adalah untuk menentukan pecahan minyak di dalam saluran paip yang
melibatkan aliran dua komponen iaitu minyak dan gas. Terdapat banyak jenis regim aliran
yang mungkin terbentuk dalam saluran paip seperti strata, teras, anulus, gelembung dan
juga homogen. Dalam kajian ini kesemua regim aliran ini direkabentuk dengan cara
membina bahagian-bahagian bergeometri menggunakan aturcara dan dijadikan masukan
kepada penyelaku (simulator) Tomografi Kemuatan Elektrik (TKE) untuk mendapatkan set
data TKE dalam bentuk nilai pengukuran kemuatan bebas. Kajian ini menggunakan
Rangkaian Neural Buatan (RNB) untuk menyelesaikan masaalah dalam menetukan
pecahan minyak. Keseluruhan kerja pula direalisasikan menggunakan perisian Matlab versi
6.5.1. Penyelidikan ini tidak akan meliputi fasa pembentukan semula imej dalam
menentukan pecahan minyak. Keseluruhan data dari penyelaku TKE dibahagikan kepada 3
bahagian utama untuk digunakan dalam proses pembelajaran RNB. 40% daripada sejumlah
data digunakan untuk melatih, 20% sebagai data pengesahan dan 40% selebihnya dijadikan
data ujian. Pembahagian data-data ini dibuat secara rawak. Senibina RNB yang digunakan
adalah dari jenis Radial Basis Function (RBF). Keluaran adalah di antara nilai 0 hingga 1
yang mana menunjukkan nilai pecahan minyak dalam keratan rentas saluran paip.
|