Summary: | Kajian ini merupakan sebuah kajian etimologi perkataan pinjaman daripada bahasa Sanskrit dan Parsi terpilih dalam bahasa Melayu. Kajian didorongi oleh kewujudan polemik berkaitan asal usul tentang beberapa kata pinjaman. Di samping itu, kurangnya kajian berkaitan etimologi dan kekurangan maklumat etimologi pada perkataan yang disenaraikan dalam kamus bahasa Melayu yang hanya menurunkan asal usul perkataan sahaja menjadi sebab untuk kajian ini dilakukan. Objektif kajian yang pertama kajian ini adalah untuk mengenal pasti perkataan pinjaman daripada bahasa Sanskrit dan bahasa Parsi. Seterusnya, perkataan yang dikenal pasti dianalisis dan kemunculan perkataan diselidiki dengan mengkaji dokumen. Perubahan-perubahan yang berlaku pada sesebuah perkataan pinjaman terpilih turut dijelaskan dalam kajian ini. Akhirnya, berdasarkan bukti yang ditemui, kajian ini berusaha untuk mempersembahkan etimologi awal bagi setiap perkataan pinjaman terpilih. Kajian ini
dijalankan dengan menggunakan kaedah kajian kualitatif. Kajian ini menggunakan persampelan bertujuan dalam mengenal pasti 36 perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit dan 19 perkataan daripada bahasa Parsi daripada kamus Wilkinson (1901, 1902) dan Winstedt (1959). Analisis etimologi dilakukan berdasarkan kerangka pedoman etimologi yang digagaskan oleh Collins (2003).
|