Summary: | Penuaan penduduk merupakan fenomena yang berlaku di
seluruh negara. Pada tahun 2009, Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) menjangkakan Malaysia akan mengalami penuaan
penduduk menjelang tahun 2030 (Dasar Warga Emas, 2011).
Penuaan penduduk ini akan berlaku apabila warga emasnya, iaitu
penduduk yang berumur 60 tahun ke atas, melebihi 15 peratus
(5.6 juta) daripada jumlah keseluruhan populasi. Jangkaan ini
dibuat berdasarkan jumlah warga emas di Malaysia yang didapati
meningkat kepada 10.3 peratus (2.23 juta) pada tahun 2019
berbanding 10 peratus (2.14 juta) pada tahun 2018 (Jabatan
Perangkaan Malaysia, 2019). Terdapat beberapa faktor yang
mempengaruhi peningkatan jumlah penduduk warga emas di
Malaysia. Antaranya; (i) peningkatan kesedaran masyarakat tentang
kepentingan penjagaan makanan dan kesihatan, (ii) kemajuan dan
kemodenan bidang perubatan, dan (iii) pertambahan kemudahan
dan fasiliti penjagaan warga emas. Faktor-faktor ini telah
memanjangkan jangka hayat penduduk di Malaysia dan secara tidak
langsung meningkatkan jumlah warga emas di negara ini (Dasar
Warga Emas Negara, 2011). Walaupun peningkatan jangka hayat
ini mencerminkan kemodenan dan kemajuan Malaysia sebagai
sebuah negara membangun, namun turut menyumbang kepada
berlakunya isu peminggiran sosial dalam kalangan warga emas. Bab ini membincangkan isu peminggiran sosial dan menerangkan
bentuk-bentuk intervensi yang boleh dilakukan bagi mengawal
dan mengatasinya.
|