Summary: | Pembelajaran aktif merujuk kepada teknik di mana pelajar melakukan lebih dari
sekadar mendengar syarahan guru. Pelajar melibatkan diri dalam melakukan sesuatu termasuklah
mencari, memproses dan mengaplikasikan maklumat. Ramai guru pada masa ini ingin berubah
dari pembelajaran pasif kepada pembelajaran aktif, dalam mencari langkah terbaik untuk
melibatkan pelajar dalam proses pembelajaran. Namun begitu, kebanyakan guru merasakan yang
mereka memerlukan bantuan dalam merencana apa yang ingin dilakukan, yang dapat
membentuk satu set aktiviti pembelajaran aktif yang bermakna. Oleh itu, tujuan projek ini adalah
mereka bentuk dan membangunkan satu persekitaran pembelajaran berasaskan web yang dapat
membantu guru dalam mengenal pasti bentuk-bentuk pembelajaran aktif yang bermakna dan
bagaimana ia dapat digunakan secara berkesan di dalam bilik darjah. Beberapa topik dalam
matapelajaran Fizik Tingkatan 4 telah dipilih untuk projek ini. Proses pembangunan projek ini
adalah berdasarkan model reka bentuk system pengajaran ADDIE. Ia melibatkan lima fasa iaitu
fasa analisis, fasa reka bentuk, fasa pembangunan, fasa pelaksanaan dan fasa penilaian. Satu
sistem pengurusan pembelajaran sumber terbuka, Moodle telah digunakan dalam menghasilkan
persekitaran pembelajaran berasaskan web. Prinsip konstruktivis sosial yang terdapat dalam
Moodle menjadikan ia sebagai pilihan terbaik dalam menyampaikan isi kandungan pembelajaran
berasaskan web yang menyediakan aktiviti-aktiviti pembelajaran aktif. Sumber-sumber dan
aktiviti-aktiviti yang disediakan dalam sistem ini diharapkan dapat membantu guru mendapatkan
pemahaman yang lebih jelas mengenai pembelajaran aktif dan bagaimana untuk
menggunakannya secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Sistem pembelajaran ini
juga diharap dapat menjadi satu medium perkongsian maklumat serta melihat potensi Moodle
sebagai medium penyaluran dan perkongsian sumber pengajaran dan pembelajaran.
|