Summary: | Tujuan projek ini adalah untuk membangunkan satu perisian Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) Fizik tingkatan empat bagi tajuk Forces and Motion – Work, Energy and Power berasaskan teori Konstruktivisme dengan menggunakan pendekatan permainan. Permainan yang berorientasikan pembelajaran akan memperkembangkan kemahiran mental, pemikiran logik, ketangkasan, pengetahuan dan kemahiran menyelesaikan masalah yang akan wujud dalam diri para pelajar (Rao, Rao, Zoraini dan Wan Fauzy, 1991). Model ADDIE digunakan sebagai garis panduan pembangunan. PBK ini dibangunkan dengan menggunakan perisian Adventure Game Studio 3.0.2 sebagai perisian utama dan disokong oleh perisian-perisian lain seperti Adobe Photoshop CS2 dan Sonic Foundry Sound Forge 8.0. Perisian PBK ini dapat membantu pelajar mengukuhkan pemahaman konsep dengan cara yang menyeronokkan. Gabungan teks, grafik, audio dan animasi diterapkan dalam perisian ini bagi mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan antara pengguna dengan komputer. Interaksi ini berupaya mempersembahkan maklumat yang menarik bagi mengekalkan tumpuan pembelajaran pelajar dan memudahkan pemahaman pelajar terhadap isi pelajaran.
|