Summary: | Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi remaja terlibat
dalam masalah sosial di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh yang terletak di negeri Melaka. Seramai 86
orang pelajar dipilih sebagai sampel kajian. Kajian ini menggunakan satu set soal selidik sebagai
instrumen kajian yang mengandungi dua bahagian iaitu Bahagian A mengenai demografi responden dan
Bahagian B mengenai respon responden terhadap aspek persoalan kajian. Terdapat empat persoalan
kajian yang diutarakan dalam kajian ini iaitu faktor diri sendiri, latar belakang keluarga, pengaruh rakan
sebaya dan permasalahan persekitaran sekolah. Darjah kebolehpercayaan (alfa cronbach) bagi setiap
persoalan kajian adalah 0.8536 bagi aspek faktor diri sendiri, 0.7967 bagi aspek latar belakang keluarga,
0.7488 bagi aspek pengaruh rakan sebaya dan 0.6835 bagi aspek permasalahan persekitaran sekolah. Data
yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for Social Science,
Version 11.5) dan dinyatakan dalam bentuk kekerapan serta peratusan. Dapatan kajian menunjukkan
faktor diri sendiri paling mempengaruhi responden terlibat dalam masalah sosial berbanding pengaruh
rakan sebaya dan pemasalahan persekitaran sekolah. Walau bagaimanapun, analisis mendapati latar
keluarga bukan faktor penting responden terlibat dalam masalah sosial. Akhir sekali, beberapa implikasi
kajian terhadap faktor penglibatan remaja didalam masalah sosial dicadangkan dan beberapa cadangan
untuk kajian lanjutan juga turut dikemukakan.
Katakunci: masalah sosial, remaja
|