Summary: | Pembakaran merupakan satu kaedah pelupusan dianggap terbaik bagi pembuangan
sisa klinikal terutamanya sisa buangan patologi. Operasi yang cekap bagi sesuatu pembakar itu
penting bagi memastikan keberkesanan pemusnahan sisa buangan tersebut. Pembolehubah seperti
kadar kemasukan sisa (sisa), kedua-dua suhu pembakaran bagi kebuk pembakaran primer (PCC)
dan kebuk pembakaran sekunder (SCC), bahan api dan udara bagi pembakaran memainkan
peranan penting dalam mempengaruhi prestasi proses pembakaran. Kecekapan pembakaran iaitu
salah satu petunjuk prestasi proses pembakaran yang ditentukan oleh kewujudan emisi karbon
monoksida dan karbon dioksida selepas SCC perlulah sentiasa diawasi. Justeru itu, satu kajian
meninjau hubungan di antara pembolehubah yang mempengaruhi kecekapan pembakaran seperti
sisa, suhu dan bahan api telah dijalankan menggunakan analisis regresi yang ditentusahkan
menggunakan ANOVA. Keputusan kajian menunjukkan bahawa sisa, suhu pembakaran bagi
kebuk pembakaran primer dan kebuk pembakaran sekunder menyumbang kepada kecekapan
pembakaran bagi proses ini. Korelasi di antara pembolehubah ini juga dikaji dan dibincangkan.
|