Summary: | Dalam operasi penggerudian dan pelengkapan telaga petroleum, beberapa bahan tambah diguna untuk mendapatkan sifat-sifat lumpur penggerudian dan simen yang dikehendaki supaya sesuai dengan keperluan operasi terbabit. Salah satu daripada bahan tersebut ialah pengawal kehilangan bendalir (disebut juga sebagai bahan tambah kawalan kehilangan bendalir). Setakat ini, semua bahan tambah yang diperlukan masih diimport dari luar negara. Oleh itu, kertas kerja ini membentang hasil penelitian makmal terhadap penggunaan kanji sagu, kanji ubi kayu, dan abu kelapa sawit sebagai bahan tambah kawalan kehilangan bendalir yang berkaitan bagi menggantikan bahan yang diimport. Ujian kehilangan bendalir dilakukan berdasarkan prosedur seperti yang ditetapkan dalam API Spec. 10 dan API RP 13B. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan kanji sagu dan kanji ubi kayu dalam lumpur penggerudian dapat mengurangkan masalah kehilangan bendalir, yang mana prestasinya adalah setanding dengan prestasi yang ditunjukkan oleh bahan tambah kawalan kehilangan bendalir piawai, iaitu PAC. Abu kelapa sawit pula sesuai digunakan sebagai bahan tambah kawalan kehilangan bendalir untuk simen kelas G dan sesuai digunakan bersama bahan tambah piawai yang lain.
|