Summary: | Sejarah perkembangan dan proses politik demokrasi di Kuala Lumpur telah bermula seawal tahun
1952 apabila berlangsungnya Pilihan Raya Municipal yang ketiga dan diikuti Pilihan Raya
Perundangan Persekutuan 1955 berikutan inisiatif kerajaan British memberi peluang kepada
pemimpin-pemimpin tempatan Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri. Dari segi geopolitik, Kuala
Lumpur, amat penting bagi mana-mana parti politik terutamanya yang memerintah kerana ia
merupakan powerhouse negara di mana tempat letaknya Parlimen Malaysia dan menjadi lokasi
cabang utama eksekutif dan kehakiman kerajaan Persekutuan sejak sekian lama. Wilayah ini
menonjolkan budaya politik dan pola pengundian yang agak berbeza disebabkan faktor urbanisasi dan demografi penduduknya yang berbeza dengan negeri-negeri lain dan sekaligus menjadikan
fokus kajian politik di Kuala Lumpur begitu menarik. Justeru, adalah menjadi tujuan penulisan kertas
kerja ini untuk menganalisis persepsi politik pengundi di Kuala Lumpur seterusnya mempengaruhi
pilihan politik mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013. Berdasarkan data soal selidik terhadap
1069 responden di 11 kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kajian
sekunder terhadap bahan-bahan akademik yang berkenaan didapati responden menyatakan mereka
memilih calon yang jujur dan amanah serta mesra rakyat serta menyokong parti yang dapat memacu
pembangunan dan membasmi kemiskinan. Mereka turut menyatakan rakyat menyokong BN kerana
berpengalaman, janji ditepati serta mengenang jasa pemimpin BN terdahulu manakala rakyat
mengundi parti-parti dalam Pakatan Rakyat kerana untuk mencuba pemerintahan yang baru, adil
dan janji yang ditawarkan adalah menarik dan menguntungkan rakyat. Responden juga kritis
terhadap isu-isu nasional seperti isu ekonomi, sosial dan politik namun mempunyai identifikasi
politik yang jelas terhadap parti yang mereka sokong. Seterusnya majoriti responden Melayu dan
India menyokong BN berbanding responden Cina yang menyokong parti-parti dalam Pakatan Rakyat
dalam PRU 2013 yang lalu.
|