Summary: | Pada 20 Januari 1962, masyarakat di Kepulauan Nusantara khususnya Tanah Melayu dan Borneo telah
dikejutkan dengan satu artikel yang bersifat provokatif yang diterbitkan oleh Philippine Free Press.Artikel yang bertajuk North Borneo is Ours yang ditulis oleh Napoleon G. Rama, seorang wartawan terkemuka di Filipina tersebut telah mencetuskan ketegangan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Tanah Melayu dan Kerajaan British.Pelbagai reaksi dan respons yang dilontarkan oleh pemimpin dan pengamal media di Tanah Melayu yang majoritinya mengutuk sikap media Filipina yang tidak profesional dan menganggap tindakan tersebut sebagai satu helah untuk melengahkan usaha pembentukan Malaysia yang diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman.Penerbitan artikel tersebut tidak hanya berakhir di situ sahaja, malahan media Filipina menerusi akhbar-akhbar arus perdana yang lain dilihat semakin
berani mengeluarkan artikel-artikel yang cuba mewujudkan konfrontasi antara Tanah Melayu dan
Filipina. Antara akhbar-akhbar tempatan Filipina lain yang turut mengeluarkan artikel mengenai
persoalan Sabah adalah Manila Times, Philippine Herald, Manila Chronicle, Daily Mirror, Evening News dan Manila Daily Bulletin. Usaha media Filipina mempropagandakan isu Sabah tersebut akhirnya berjaya mempengaruhi keputusan Republik Filipina agar segera menghantar aide-memoire kepada British bagi mencabar kedaulatan British ke atas Sabah.Justeru, artikel ini akan meninjau peranan yang dimainkan oleh akhbar-akhbar Filipina yang menjadi salah satu medium yang paling berpengaruh dalam pembentukan dasar luar Filipina.
|