Summary: | Penulisan ilmiah ini dilahirkan daripada kajian asas (baseline study) dan analisis keperluan (need analysis) yang telah dijalankan di sektor awam. Walau bagaimanapun, penulisan ilmiah ini bukanlah bertujuan untuk menerangkan perjalanan kajian di sektor awam tersebut mahupun hal-hal yang berkaitan dengan pelan strategiknya, sebaliknya menggunakan maklumat yang berkaitan dengan kajian tersebut untuk membangunkan kerangka konsep keupayaan dinamik. Berdasarkan kepada dapatan kajian, perbincangan difokuskan kepada elemen kakitangan (hasil kajian asas) dan dimensi pembangunan dasar (hasil analisis keperluan) memandangkan kedua-duanya mendapat maklumbalas yang sangat kritikal daripada responden. Oleh kerana konsep keupayaan dinamik mendapat kritikan terhadap asas penggunaannya, penulisan ilmiah ini bermatlamat untuk membangunkan kerangka konsep yang diharapkan dapat menjernihkan kekeliruan yang timbul. Melalui kerangka konsep tersebut, penulisan ilmiah ini menjelaskan bagaimana proses transformasi menurut konsep keupayaan dinamik boleh dikaitkan dengan kecekapan kakitangan sektor awam untuk meningkatkan mutu pembangunan dasar demi kepuasan pelangannya. Penulisan ilmiah ini juga mencadangkan supaya kajian empirikal dilakukan untuk menentukan kesahihan hubungan di antara kecekapan kakitangan dan pembangunan dasar melalui mediasi proses transformasi sumber, dan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan berterusan konsep keupayaan dinamik.
|