Summary: | Tujuan - Anajakan ketiga dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 ialah untuk
melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai. Namun begitu, dalam perkembangan
kini, masalah gejala sosial dan disiplin pelajar didapati semakin hari semakin serius. Pendidikan
hari ini terlalu memfokuskan kepada kejayaan akademik yang menyebabkan pendidikan afektif
diabaikan. Rentetan daripada isu ini, satu persoalan yang amat berkait dengan permasalahan ini
ialah apakah status penghayatan nilai murni dalam kalangan pelajar masa kini. Oleh itu, kajian
ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti tahap penghayatan nilai murni dalam kalangan
pelajar dan adakah ia berbeza berdasarkan aspek lokasi sekolah, aliran pengajian dan jantina
pelajar?
Metodologi - Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan kuantitatif. Populasi sasaran
dalam kajian ini adalah semua pelajar sekolah menengah kebangsaan harian di Semenanjung
Malaysia. Manakala, populasi perolehi ialah pelajar-pelajar tingkatan empat yang sedang
mengikuti persekolahan di sekolah menengah kebangsaan harian di Semenanjung Malaysia iaitu
seramai 337 422 (EPRD, KPM). Pemilihan pelajar tingkatan empat untuk menyertai kajian ini
dibuat kerana secara umumnya mereka telah melepasi tahap kematangan umur baligh (melebihi
15 tahun) (Abdullah Nasih ’Ulwan, 1984).Dari segi sampel kajian secara asasnya, kaedah persampelan yang digunakan bagi memilih
sampel dalam kajian ini ialah kaedah persampelan secara rawak. Bagi melaksanakan kaedah
persampelan ini, teknik persampelan rawak berlapis, persampelan rawak berkelompok dan
persampelan rawak mudah telah digunakan. Dengan itu, sampel seramai 448 orang pelajar
tingkatan empat sekolah menengah harian Semenanjung Malaysia yang telah menjawab soal
selidik telah dipilih untuk digunakan dalam analisis kajian ini. Jumlah sampel yang diperolehi
untuk dianalisis adalah melebihi bilangan minimum saiz sampel yang dinyatakan oleh Cochran
(1977) dan Krejcie dan Morgan (1970) iaitu seramai 384 orang.
Data dikutip melalui soal selidik “inventori penghayatan nilai murni” mengandungi 113 item yang
dibangunkan oleh pengkaji berasaskan 17 dimensi nilai murni mengikut ketetapan Bahagian
Pembangunan Kurikulum, KPM. Kesahan muka dan kandungan instrumen yang digunakan dalam kajian telah diperakui dan persetujuan oleh lima orang panel pakar. Panel pakar telah
menilai kandungan ítem-item soal selidik mencukupi, mencakupi dan sesuai untuk mendapatkan
maklumat berkaitan penghayatan nilai murni pelajar. Bagi menentukan tahap kebolehpercayaan
instrumen, ujian Cronbach Alpha dijalankan dan didapati nilai alpha bagi setiap dimensi item
berada di atas 0.7. Keseluruhan item inventori penghayatan nilai murni mencatat nilai alpha .95.
Data kajian telah dianalisis menggunakan statistik deskriptif yang melibatkan min dan sisihan
piawai serta analisis inferensi yang melibatkan ujian MANOVA. Ujian MANOVA digunakan apabila
sesuatu kajian mempunyai lebih daripada satu daripada pemboleh ubah bersandar. Dalam
kajian ini pemboleh ubah bersandar ialah penghayatan nilai murni pelajar secara keseluruhan
dan dimensi-dimensi nilai murni. Ia merupakan analisis varians yang digunakan bagi membuat
perbandingan sesuatu kumpulan dengan beberapa dimensi pemboleh ubah bersandar secara
serentak. Dapatan - Hasil kajian menunjukkan bahawa secara keseluruhannya penghayatan nilai murni
pelajar berada pada tahap sederhana tinggi (M=3.79, SP=.35). Dapatan selanjutnya menunjukkan
daripada 17 nilai murni, terdapat 3 dimensi nilai menunjukkan tahap penghayatan yang tinggi,
manakala 14 dimensi nilai menunjukkan tahap penghayatan sederhana tinggi. Dapatan analisis
MANOVA pula menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan penghayatan nilai murni pelajar
secara keseluruhan dan mengikut dimensi-dimensi nilai murni berdasarkan lokasi sekolah
[Wilks’λ=.899, F(1,446)=2.856, p<0.01], aliran pengajian [Wilks’λ=.844, F(1,446)=4.684, p<0.01]
dan jantina [Wilks’λ=.902, F(1,446)=2.746, p<0.01]. Didapati responden daripada sekolah bandar,
aliran sains dan perempuan memperlihatkan skor min penghayatan nilai murni yang lebih tinggi
berbanding responden-responden lain.Kepentingan – Kajian mengenai penghayatan nilai murni pelajar adalah penting untuk
menjelaskan status semasa tahap penghayatan nilai murni pelajar supaya usaha-usaha membina
generasi remaja kini ke arah pembangunan modal insan yang mantap dapat dilaksanakan
dengan berkesan. Hasil kajian ini diperlihatkan secara keseluruhannya tahap penghayatan nilai
murni adalah sederhana tinggi. Dapatan jelas menunjukkan daripada tujuh belas nilai murni yang
dikaji didapati hanya tiga dimensi nilai murni menunjukkan tahap penghayatan yang tinggi dan
empat belas dimensi nilai murni menunjukkan tahap penghayatan yang sederhana tinggi. Ini
menggambarkan bahawa sikap mereka yang mementingkan sebahagian sahaja nilai-nilai murni
perlu diberi perhatian. Ini penting supaya gejala sosial dalam kalangan remaja dapat dibendung.
Selain itu, pihak-pihak yang terlibat dalam konteks pembangunan insan samada di peringkat
kementerian, jabatan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya perlu memberi
perhatian dan usaha yang lebih terutama terhadap nilai-nilai murni yang berada tahap sederhana
tinggi supaya nilai-nilai tersebut ada peningkatan dari segi tahap penghayatannya. Selain, hasil
kajian ini juga memberi implikasi kepada pelbagai pihak bahawa faktor demografi seperti aspek
lokasi sekolah, aliran pengajian dan jantina memainkan peranan dalam usaha membentuk
penghayatan nilai murni pelajar
|