Summary: | Bangunan telah dikenalpasti sebagai antara punca impak kepada pemanasan global.Ia merupakan salah satu penyumbang kepada kesan rumah hijau dunia.Dianggarkan di antara 35% gas karbon dioksida(CO2) yang dibebaskan adalah daripada bangunan (USGBC,1996). Ini diperkuatkan lagi oleh Riley(2006, hlm.143) yang menyatakan, 54% penggunaan tenaga di Amerika Syarikat adalah daripada bangunan dan proses pembinaannya. Malahan menurut Roaf et al.(2004) sektor pembinaan penyumbang utama pengeluaran CO2 dalam masyarakat moden. Anggaran oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) pada tahun 2001 dalam laporan tahunan mengenai peratusan bangunan-bangunan yang membebaskan CO2 adalah lebih dipercayai. IPCC telah mensasarkan pengeluaran CO2 oleh empat sektor utama seperti berikut (Henson, 2008, hlm.36): Industri ; melebihi 40% Bangunan(rumah, pejabat dan sebagainya); sekitar 31% Pengangkutan; sekitar 22%
Pertanian; 4%. Bagaimanapun, semenjak laporan tersebut dikeluarkan, pembebasan CO2 oleh bangunan-bangunan telah mengalami peningkatan. Kewujudan bangunan-bangunan dipersalahkan kerana mengunakan jumlah tenaga yang banyak serta menghasilkan CO2 dengan jumlah yang hampir sama banyaknya. Menurut European Commission Directorate-General for Energy and Transport pada tahun 2006, dianggarkan sebanyak 40% tenaga telah digunakan di bangunan sekitar
Kesatuan Eropah (EU) terutamanya untuk bekalan elektrik dan gas (Kenna 2008, hlm.78). Anggaran yang sama dikeluarkan oleh The World Business Council for Sustainable Development (WBCSD), menyatakan bangunan-bangunan di dunia akan menghasilkan GHG dan menggunakan tenaga sebanyak 40% (Fortson, 2009:11).
|