Summary: | Kerajaan sangat prihatin dalam membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi golongan asnaf B40 dan golongan ini merupakan penerima manfaat paling besar dalam bajet negara. Kerajaan telah merangka strategi khusus dengan memperkenalkan pertanian sebagai sumber kekayaan baharu bagi meningkatkan pendapatan rakyat. Satu kaedah pertanian moden yang semakin dipraktikkan adalah kaedah pertanian secara hidroponik nutrient film technique (NFT) dan kaedah ini telah menunjukkan kejayaan kepada beberapa pihak dalam meningkatkan pengeluaran dan hasil pendapatan mereka. Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan bukti secara saintifik tentang keberkesanan sistem penanaman secara hidroponik NFT dalam meningkatkan pendapatan golongan asnaf B40. Justeru, tujuan kajian ini adalah bagi membina model ramalan tahap keberkesanan sistem penanaman hidroponik NFT dalam meningkatkan pendapatan golongan asnaf zakat B40. Bagi tujuan ini, kaedah mengenalpasti modul dan latihan terbaik penanaman hidroponik NFT kepada asnaf terpilih ditentukan terlebih dahulu dan kemudiannya memperkenalkan kaedah ini kepada asnaf secara praktikal dan sistem pemantauan dan model ramalan keberkesanan sistem ini dibentuk bagi mengukur kesan sistem ini kepada pendapatan dan produktiviti asnaf. Dapatan kajian menunjukkan kaedah penanaman NFT berkesan dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan asnaf. Dapatan ini memberikan implikasi yang boleh membantu kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya dan juga pihak berkuasa zakat dalam membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan asnaf. Hasil kajian juga dapat menyokong usaha kerajaan yang mensasarkan Malaysia sebagai negara utama dunia dalam sektor ekonomi, kebajikan rakyat dan inovasi di samping sejajar dengan usaha yang menekankan kepada kecekapan, kemampanan dan produktiviti.
|