Summary: | Setelah menjalani hukuman yang ditetapkan, setiap daripada banduan akan kembali ke dalam masyarakat kecuali bagi kes hukuman mati. Kajian lepas mendapati bekas banduan berhadapan dengan kesukaran untuk membina kehidupan baru selepas dibebaskan. Mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kesukaran mendapatkan pekerjaan, masalah tempat tinggal, masalah kesihatan fizikal dan mental, dan persepsi negatif atau stigma daripada masyarakat. Bagi menangani permasalahan tersebut, Jabatan Penjara Malaysia (JPM) telah menubuhkan Rumah Perantaraan (RP) di seluruh negara dengan tujuan membantu bekas banduan dan Orang DiParol (ODP) yang tidak mempunyai tempat tinggal, tiada pekerjaan atau tiada keluarga. Menyedari bahawa pentingnya membantu golongan ini supaya masalah tingkah laku pengulangan jenayah (residivisme) dapat dikurangkan, maka kajian ini bertujuan merangka Model Reintegrasi Sosial Bersepadu bagi memantapkan lagi proses membantu bekas banduan dan ODP untuk integrase semula dengan masyarakat. Hal ini selaras dengan inisiatif yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan masalah jenayah berulang dan masalah sosial berkaitan dengan kegagalan bekas banduan dan ODP untuk diintegrasi semula ke dalam masyarakat. Kajian ini menggunakan kaedah mod campuran iaitu kaedah kuantitatif dan kualitatif.
|