Summary: | Warisan kebudayaan tidak ketara adalah salah satu cabang warisan yang dilindungi di bawah warisan kebangsaan selain daripada warisan kebudayaan ketara, warisan semula jadi dan warisan kebudayaan di bawah air. Warisan tidak ketara adalah suatu bidang warisan yang menjadi keutamaan, merangkumi
sesuatu warisan yang ‘bukan benda’ untuk dinikmati oleh pancaindera manusia. Akta Warisan Kebangsaan 2005 adalah satu-satunya Akta yang digubal untuk melindungi warisan kebangsaan termasuklah warisan kebudayaan tidak ketara. Walau bagaimanapun, Akta tersebut memberikan definisi yang terhad kepada warisan kebudayaan tidak ketara. Ini adalah kerana wujudnya kekaburan dalam terminologi-terminologi tertentu dari aspek definisi dan skop dalam warisan tidak ketara. Aspek peruntukan kesalahan juga tidak mencukupi yang menghalang
dalam penyediaan perlindungan yang mencukupi kepada hasil karya tersebut. Selain itu, pemakaian peruntukan undang-undang berkaitan dengan undangundang harta intelek adalah tidak menyeluruh. Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk menganalisa peruntukan dan proses penyenggaraan daftar warisan kebangsaan terhadap warisan kebudayaan tidak ketara supaya selaras dengan
perlindungan harta intelek di Malaysia. Kajian ini dijalankan secara kajian undangundang tradisional melalui kajian keperpustakaan dan lapangan. Data-data diperolehi daripada analisa yang dibuat ke atas peruntukan undang-undang dan sesi temubual. Kajian ini merumuskan bahawa suatu penambahbaikan perlu dilakukan terhadap Akta Warisan Kebangsaan 2005 seperti meluaskan skop
peruntukan dengan menggantikan perkataan “hak cipta” kepada “harta intelek” Selain itu wujud keperluan untuk menambah suatu peruntukan berkaitan dengan kesalahan berkaitan warisan kebudayaan tidak ketara bagi tujuan melindungi, memelihara dan memulihara warisan ini. Langkah pengemaskinian dan penambahbaikan undang-undang berkaitan perlu dijalankan secara berterusan bagi memastikan peruntukan undang-undang terbabit terus kekal relevan dan selaras peredaran semasa.
|