Summary: | lndustri pelancongan memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi sesebuah negara. Di Malaysia, pelancongan telah menjadi salah satu industri yang mengalami pertumbuhan paling pesat di kalangan sektor perkhidmatan sejak tahun 1990-an. Kepentingan industri ini dapat dilihat berdasarkun nilai perolehan di mana terdapat peningkatan dari RM9.1 bilion pada tahun 1995 kepada RM25.8 bilion pada 2002
dengan purata pertumbuhan tahunan ialah 15.9%. Peningkatan ini adalah sejajar dengan pertumbuhan bilangan pelancong iaitu 8.6% setahun bagi tempoh 1995 hingga 2002 dengan kedatangan pelancong bagi tahun 2002 sebanyak 13.29 juta orang. Statistik pelancongan menunjukkan purata perbelanjaan perkapita para pelancong telah meningkat sebanyak 58% iaitu dari RM1.228 (1995) kepada RM1,939 (2002). Sumbangan industri pelancongan biasanya diukur secara agregat dan jarang dinilai di peringkat kawasan, destinasi atau produk tertentu. Justeru, kajian ini dijalankan bagi menilai sumbangan aktiviti pelancongan berdasarkan nilai perbelanjaan individu pelancong bagi destinasi berasashan pantai di dua buah pulau peranginan yang terkenal di Malaysia iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Kajian ini memfokuskan kepada corak perbelanjaan individu pelancong berdasarkan sosio-demografi dan ciri-ciri percutian. Model perbelanjaan individu pelancong digunakan untuk menerangkan penentu-penentu perbelanjaan individu pelancong menggunakan kaedah "Ordinary Least Square (OLS) Multiple Regression". Hasil kajian mendapati terdapat perbezaan antara corak perbelanjaan dan penentu-penentu perbelanjaan individu pelancong bagi dua buah pulau. Keadaan ini adalah berpunca daripada aspek permintaan dan penawaran iaitu faktor pelancong dan ciri-ciri produk yang ditawarkan. Dapatan kajian diharap dapat digunakan oleh pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam industri ini untuk mengoptimumkan nilai ekonomi dan membangunkan produk pelancongan tanpa memusnahkan ekosistem pulau yang merupakan aset yang tidak ternilai. Oleh yang demikian, beberapa cadangan dikemukakan untuk tindakan pihak yang terlibat.
|