Summary: | Dalam pengurusan harta benda khasnya bagi bangunan tinggi, insuran merupakan satu kos dan perbelanjaan tahunan. Pemilihan polisi insuran dan klaus tambahan yang akan diambil adalah penting untuk diberi beberapa pertimbangan. Insuran merupakan satu ikatan kontrak, maka seseorang pengurus harta harus tahu jenis-jenis polisi dan lindungan yang perlu diambil. Kajian ini adalah mengenai jenis-jenis polisi dan lindungan yang harus diambil bagi sesebuah kompleks membeli-belah dan blok pejabat serta klaus-klaus tambahan yang boleh dimasukkan bersekali dengan kontrak insuran induk. Kajian ini juga menekankan prosidur bagaimana seseorang pengurus harta harus mengendalikan insuran melalui broker insuran. Tugas utama pengurus harta adalah memaksimakan pendapatan dan meminimakan kos sesebuah bangunan yang diurusnya. Ini adalah untuk menjamin pulangan pelaburan sentiasa tinggi dan menguntungkan. Dengan itu adalah penting seseorang pengurus harta mengetahui apakah jenis-jenis polisi yang perlu diambil, kadar lindungan, klaus tambahan, istilah-istilah kontrak insuran, prosidur serta pemilihan broker. Dengan itu kajian ini cuba menyelesaikan persoalan peranan pengurus harta dari segi lindungan dan jenis polisi insuran yang perlu diambil serta klaus tambahan bangunan yang diurusnya. Ini adalah penting bagi mencapai matlamat pelaburan pemilik harta tanah.
|