Summary: | Asfalt berliang merupakan turapan permukaan yang digunakan secara meluas
disebabkan oleh kekuatan dan ketahanlasakannya. Kajian demi kajian dijalankan
untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan turapan bagi menampung pertumbuhan lalu
lintas yang tidak dijangkakan. Pelbagai kajian juga dijalankan untuk mengenalpasti
ciri campuran turapan asfalt berliang. Dalam kajian ini, penggredan yang digunakan
adalah sama dengan penggredan yang dihasilkan oleh kajian IRPA ke atas dwilapisan
asfalt berliang. Kajian ini tertumpu kepada hubungan di antara ketebalan lapisan dan
kandungan bitumen ke atas kebolehtelapan dan kekuatan tegangan tak langsung
(ITS) asfalt berliang. Jenis pengikat yang digunakan adalah pengikat terpinda iaitu
SBS yang dibekalkan oleh Shell Malaysia Berhad. Hasil kajian mendapati bahawa
nilai pekali kebolehtelapan menurun dengan pertambahan ketebalan sampel bagi
sampel yang menggunakan 20 mm saiz maksimum agregat. Keputusan kajian juga
menunjukkan nilai pekali kebolehtelapan untuk 14 mm dan 10 mm bagi saiz
maksimum agregat berkadar terus dengan ketebalan sampel. Hasil kajian juga
memberikan nilai keliangan iaitu antara julat 17-20%. Daripada ujikaji ITS, hasil
kajian menunjukkan kekuatan tegangan mengufuk untuk sampel 14 mm saiz
maksimum agregat lebih tinggi apabila ketebalan meningkat bermula dari tebal 40
mm. Daripada ujikaji ITS, keputusan kajian juga menunjukkan ketebalan optimum
adalah 40 mm untuk satu lapisan asfalt berliang.
|